There was an error in this gadget

Wednesday, April 21, 2010

PENYAKIT HATI - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com

Assalamualaikum wm. wt.

Hmmm ... agak lama tidak menulis di blog saya ini. Memang sudah lama rindu untuk ke mari tetapi kekangan masa menghalang seperti sibuk dengan tugas sebagai seorang guru, sebagai ketua keluarga dan juga sebagai pelukis potret yang menerima banyak tempahan. Menyentuh tentang tempahan potret, saya tidak menyangka akan menerima sambutan sebegini rupa sehingga tidak menang tangan dibuatnya. Apa pun, saya amat bersyukur kepada Ilahi atas keizinanNya dan berterima kasih kepada mereka yang mempercayai pada bakat dan kemahiran yang ada pada saya. Dan tidak lupa terima kasih kepada yang menjadi 'followers' kepada blog saya ini. Terima kasih sekali lagi kepada semua.

Apabila menjadi seorang pelukis, berjenis-jenis penyakit hati mudah hinggap dan menyerang sehingga kelihatan dengan mata hati dan mata kasar yang pelukis itu benar-benar sakit. Di antara penyakit hati itu ialah 'ujub. 'Ujub di sini bererti ajaib atau hairan dengan kebolehan yang ada pada diri sendiri. Pelukis akan berkata kepada dirinya sendiri : "Hebat jugak aku ini, tak sangka. Ramai orang memuji-muji hasil lukisanku. Hebat-hebat. Baru mereka tahu siapa aku". Begitulah antara bentuk kata-kata pelukis yang berpenyakit 'ujub. Dia rasa bangga diri sehingga dia rasa dirinya hebat. Jika penyakit 'ujub ini dibiarkan melarat, kelak datang penyakit-penyakit hati yang lain yang lebih kronik lagi seperti som'ah, ria', sombong dan takbur atau takabbur.

Di kalangan penyakit-penyakit hati di atas, penyakit 'ujub adalah permulaannya. Bermula dengan rasa hebat diri, dia akan rasa orang lain tidak ada yang hebat selain dia. Pantang pula mendengar ada orang lain yang lebih hebat daripadanya, maka tak senang hatinya. Pantang dipuji orang lain di depannya kerana hatinya akan rasa terbakar mendengarnya. Tapi jika dia dipuji hebat dan orang lain tidak ada yang sehebatnya, kembang hatinya, malah, berbunga-bunga hatinya. Lalu keluarlah kata-kata : "Eh, you all tahu, I tak belajar dengan sapa2 tau. I ni memang gifted. Actually I mewarisi bakat mother I ... ", berjela-jela la boraknya menandakan betapa megahnya dia atas puji-pujian itu.

Rupa-rupanya, orang yang berpenyakit hati sebegini jarang sedar akan dirinya berpenyakit. Sememangnya fizikalnya sihat dan fikirannya waras, lalu, di mana sakitnya? Ini disebabkan kejahilan diri lantaran tidak mahu mengambil tahu hal-hal Islam, khususnya yang berkaitan dengan persoalan hati seperti persoalan Iman, Taqwa, Mahmudah, Mazmumah, dan sebagainya.

Ada juga yang berpenyakit hati dalam keadaan tahu dan sedar tetapi lantaran kuatnya nafsu yang menyemarakkan penyakit-penyakit tersebut, dia sering tewas. Dia tidak berupaya mengubati penyakit hatinya . Malah, dia tidak berupaya mencegah hatinya daripada dihinggapi penyakit. Dia tahu tetapi dia mengambil ringan.

Ketahuilah, penyakit hati jauh lebih merbahaya daripada penyakit lahir. Penyakit kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, barah, dan sebagainya memang digeruni oleh manusia. Namun, kemuncak penyakit-penyakit tersebut ialah sebuah nokhtah yang bernama kematian atau maut. Segala tisu dan organ yang sakit itu akan disemadikan ke dalam bumi. Tetapi, penyakit hati seperti sombong misalnya akan kekal sampai ke Akhirat kerana ia akan mengikut roh yang akan dipanggil oleh Tuhan nanti. Hanya yang membawa qolbissalim atau hati yang sejahtera sahaja yang akan dipanggil ke Syurga, yang lain-lain ke Neraka, wal'iyazubillah. Jelas, hati yang sakit jauh lebih tinggi risikonya daripada kaki yang sakit.