Saturday, March 27, 2010

KISAH SEORANG PELUKIS - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com


Assalamualaikum wm. wt.

Semasa saya berada di bangku sekolah dulu, saya pernah terbaca satu kisah seorang pelukis tetapi saya sudah tidak begitu ingat lagi secara terperinci akan kisah itu. Namun, saya masih ingat lagi intipatinya. Saya ingin menceritakan kembali kisah tersebut tetapi dengan versi saya. Jika ada di antara para pembaca yang masih ingat kisah tersebut dan mendapati ianya amat berlainan dengan cerita saya ini, harap maafkan saya.

Kisah ini berlaku di sebuah kolej pengajian seni halus. Salah sebuah kelas yang terdiri daripada 25 orang penuntut dikehendaki masing-masing menyiapkan sebuah lukisan terbaru dan unik serta dipamerkan di galeri yang disediakan. Semua penuntut begitu serius menyediakan lukisan yang diminta melainkan Khairul. Khairul tidak mengendahkan sangat darihal pameran itu.

Namun pada malam sebelum pameran, penuntut-penuntut terlibat diberitahu bahawa mereka yang tidak mempamerkan lukisan akan dipanggil mengadap pengetua kolej. Berderau darah Khairul mendengar berita tersebut kerana setelah dibuat tinjauan, hanya dia seorang yang belum meletakkan lukisannya di galeri. Pada malam itu Khairul seorang sahaja yang berada di studio seni dalam keadaan mengelabah sedangkan rakan-rakannya yang lain berada di galeri untuk membuat persiapan terakhir.

Keesokan paginya, selepas membuat ucapan, pengetua dengan diiringi oleh beberapa orang pensyarah melawat ke galeri-galeri yang ada termasuk galeri kelas Khairul. Setibanya di sana, setiap penuntut yang seramai 25 orang itu telah berdiri di sebelah lukisan masing-masing dan bersedia untuk memberi penerangan jika diminta. Dan masing-masing berasa bangga apabila pengetua berhenti melihat lukisan mereka namun pengetua tidak bertanya apa-apa. Pengetua melihat lukisan-lukisan tersebut memang cantik namun semuanya tidak menarik dan tidak mencuit hatinya.

Setibanya di hadapan lukisan Khairul, pengetua berhenti dan merenung lama lukisan tersebut. Ke atas ke bawah ke kiri ke kanan diperhatikannya. Pengetua mencari sesuatu pada lukisan Khairul namun tidak berjumpa dengan apa yang dicarinya. Para pensyarah yang mengiringi juga turut tercari-cari. Hal ini menyebabkan penuntut-penuntut lain kehairanan dan datang menghampiri. Setelah beberapa ketika, pengetua bersuara memecah kesunyian.

Pengetua : Lukisan ini menarik perhatian saya.
Khairul : Terima kasih tuan ( Khairul tersipu-sipu ).
Pengetua : Saya mencari-cari tajuk lukisan awak tapi tak ada. Apa tajuk lukisan kamu?
Khairul : Err ... err ... Lembu Makan Rumput tuan.
Pengetua : Lembu Makan Rumput? Mana rumputnya?
Khairul : Rumput dah habis dimakan lembu.
Pengetua : Mana lembunya?
Khairul : Lembu dah kenyang tuan, jadi dah pergi dari sini.
Pengetua : Tak apa. Saya tak berminat dengan lembu itu, jadi biar ia pergi. Tapi awak tuan lembu itu ikut saya ke pejabat.
Khairul : Aduh. Tak menjadi taktik aku ( kata Khairul perlahan sambil berjalan di belakang pengetua ).

Wednesday, March 24, 2010

KISAH PELUKIS POTRET - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Kali ini saya ingin bersantai sedikit dengan membawa sebuah kisah fiksyen darihal seorang pelukis potret yang sangat gigih menghasilkan lukisan-lukisan potret.

Pada suatu hari pelukis ini pergi ke rumah seorang pelanggannya yang berada di kampung berhampiran. Dia membawa lukisan potret yang telah siap yang ditempah oleh pelanggannya itu. Setelah berjumpa dengan pelanggannya itu, dia menunjukkan lukisannya dengan hati yang gembira. Malangnya, wajah pelanggannya berkerut.

Pelanggan : Tak serupa saya pun.
Pelukis : Saya ikut foto saudara.
Pelanggan : Saya tak peduli. Saya tak mahu potret ini dan saya tak mau keluar satu sen pun.
( dengan nada marah )

Akhirnya berlakulah satu pertengkaran yang dahsyat. Tiba-tiba pelanggan itu menjerit: Aku TEMBAK kau!!! lalu masuk ke dalam rumahnya untuk mengambil selaras senapang. Menyedari bahaya yang bakal menimpa, pelukis itu lari lintang-pukang tanpa sempat mengambil lukisan potretnya itu. Setelah jauh berlari dia terserempak dengan kawan baiknya di simpang jalan. Dengan tercungap-cungap dia memegang tangan kawannya itu.

Pelukis : Pehhh! Mujur aku sempat lari.
Kawan : Kenapa? Apa dah jadi?
Pelukis : Pelanggan aku tak puas hati lalu nak menembak aku. Kalau aku tak sempat lari tadi, alamat terburai la isi perut aku.
Kawan : Kalau kau kena tembak tadi, jangan kata isi perut kau terburai, kepala kau pun bersepai.
Pelukis : Kepala aku bersepai tak apa asalkan jari aku tak berkecai. Kalau jari aku berkecai, macam mana aku nak melukis malam ni?
Kawan : ? ? ?

Wednesday, March 10, 2010

ISTIQOMAH - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamulaikum wm. wt.

Jika kita ada usaha ke arah sesuatu matlamat, itu memang bagus. Tetapi kalau usaha kita itu sekerat jalan sahaja, maka, matlamat yang diidamkan itu tidak mungkin tercapai. Seperti seorang pelari 100 meter yang berhenti pada jarak 50 meter, maka, apalah ertinya usahanya itu kerana tidak sampai ke garisan penamat.

Untuk sampai ke garisan penamat memang banyak dugaannya. Kekangan masa adalah salah satu daripadanya. Selalunya ada saja perkara-perkara lain yang menyebabkan kita tidak berkesempatan melakukan perkara yang benar-benar kita ingini. Saya seorang yang benar-benar ingin serius dalam bidang bisnes potret ini tetapi tanggungjawab pekerjaan, keluarga, masyarakat, dan sebagainya, menyebabkan saya kesuntukan masa. Stamina dan kesihatan juga faktor yang mencuri masa. Keletihan dan mengantuk sering terjadi. Kalau jatuh sakit seperti demam, asthma, sakit kepala, sakit perut, dan lain-lain lagi, maka kesan kepada usaha kita akan berlebih-lebih lagi. Itu belum dikira perasaan jemu dan bosan.

Satu sifat yang perlu ada ialah istiqomah. Istiqomah atau consistent dalam melakukan sesuatu usaha sangat diperlukan. Mengekalkan rasa minat dan bersemangat amat penting. Bukan untuk sehari dua atau sebulan dua bulan tetapi berbelas malah berpuluh tahun lamanya. Di sinilah cabaran saya untuk menjadi seorang pelukis potret yang berjaya dan dalam masa yang sama menjadi fasilitator kepada pelajar-pelajar yang mengikuti www.kursuspotret.com.my

Wednesday, March 3, 2010

KUALITI - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com




Assalamualaikum wm. wt.

Sejak kebelakangan ini, saya menerima tempahan potret dengan begitu banyak sekali sehingga tidak menang tangan dibuatnya. Saya tidak menyangka akan sambutan rakan-rakan sekerja, rakan-rakan isteri dan juga rakan-rakan facebook yang saya kasihi sekelian. Pada peringkat awal saya mengambil keputusan untuk serius dengan lukisan potret ini saya agak ragu-ragu juga akan sambutan yang saya bakal terima nanti. Tetapi, setelah dua bulan berlalu, alhamdulillah, segala-galanya di luar jangkaan saya. Terima kasih Tuhan. Terima kasih kawan-kawan.

Setelah saya menerima banyak tempahan lukisan potret, maka, soal kualiti sesebuah potret saya adalah menjadi persoalan saya sekarang. Sejauh mana saya dapat menjaga kualiti setiap hasilan saya dalam pada saya mengejar waktu untuk menyiapkan potret-potret tersebut. Di sinilah satu cabaran yang sangat besar kepada saya. Saya tidak mahu terjebak dengan dilema : wang atau kualiti. Soal kualiti sudah tiada kompromi bagi saya. Sedapat yang mungkin saya akan menjaga kualiti potret yang saya hasilkan agar setiap pelanggan akan berpuas hati dan menjadi pelenggan tetap saya selagi hayat dikandung badan.

Soal wang ringgit adalah soal kedua. Memang, tiada siapa yang tidak menginginkan wang setelah berpenat-lelah menyiapkan sesuatu kerja, termasuklah saya. Saya juga memerlukan hasil daripada kerja saya sebagai upah penat-lelah di samping membeli beberapa peralatan lukisan yang baru bagi menggantikan yang telah habis digunakan. Wang tersebut juga memberi satu kepuasan sama ada ianya disimpan atau digunakan. Namun kepuasan menghasilkan potret yang berkualiti lebih memberi kepuasan kerana nun sana ada insan yang berpuas hati apabila menatap potret tersebut. Hati mereka berkata : BERBALOI ...