Wednesday, March 3, 2010

KUALITI - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com




Assalamualaikum wm. wt.

Sejak kebelakangan ini, saya menerima tempahan potret dengan begitu banyak sekali sehingga tidak menang tangan dibuatnya. Saya tidak menyangka akan sambutan rakan-rakan sekerja, rakan-rakan isteri dan juga rakan-rakan facebook yang saya kasihi sekelian. Pada peringkat awal saya mengambil keputusan untuk serius dengan lukisan potret ini saya agak ragu-ragu juga akan sambutan yang saya bakal terima nanti. Tetapi, setelah dua bulan berlalu, alhamdulillah, segala-galanya di luar jangkaan saya. Terima kasih Tuhan. Terima kasih kawan-kawan.

Setelah saya menerima banyak tempahan lukisan potret, maka, soal kualiti sesebuah potret saya adalah menjadi persoalan saya sekarang. Sejauh mana saya dapat menjaga kualiti setiap hasilan saya dalam pada saya mengejar waktu untuk menyiapkan potret-potret tersebut. Di sinilah satu cabaran yang sangat besar kepada saya. Saya tidak mahu terjebak dengan dilema : wang atau kualiti. Soal kualiti sudah tiada kompromi bagi saya. Sedapat yang mungkin saya akan menjaga kualiti potret yang saya hasilkan agar setiap pelanggan akan berpuas hati dan menjadi pelenggan tetap saya selagi hayat dikandung badan.

Soal wang ringgit adalah soal kedua. Memang, tiada siapa yang tidak menginginkan wang setelah berpenat-lelah menyiapkan sesuatu kerja, termasuklah saya. Saya juga memerlukan hasil daripada kerja saya sebagai upah penat-lelah di samping membeli beberapa peralatan lukisan yang baru bagi menggantikan yang telah habis digunakan. Wang tersebut juga memberi satu kepuasan sama ada ianya disimpan atau digunakan. Namun kepuasan menghasilkan potret yang berkualiti lebih memberi kepuasan kerana nun sana ada insan yang berpuas hati apabila menatap potret tersebut. Hati mereka berkata : BERBALOI ...




No comments:

Post a Comment