Saturday, February 13, 2010

MEMORI - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Apabila kita sudah dewasa, lebih-lebih lagi kalau sudah tua, maka, banyak memori dalam fikiran kita. Memori ini berlapis-lapis dan bertindih-tindih mengikut peredaran masa. Misalnya, memori tahun ini mula menindih memori tahun lepas. Memori tahun lepas telah menindih memori-memori tahun sebelumnya. Memori-memori lampau berada di lapisan-lapisan bawah dalam fikiran kita. Untuk mendapat kembali memori-memori silam, kenalah kita menyelak lapisan-lapisan memori kita. Kadang-kadang kita bernasib baik kerana berjumpa juga dengan memori yang kita cari. Namun tidak kurang yang menghampakan kerana kita gagal mencari memori yang kita hajati. Ini bukan bermakna memori tersebut telah tiada. Ia tetap ada di dalam fikiran kita tetapi kita gagal menemuinya saja. Ini kerana memori kita tidak diuruskan dengan baik dan bersistem. Pengurusan memori boleh berlaku secara terurus dan juga tidak terurus. Penyimpanan memori tetap berlaku sama ada kita menguruskan atau membiarkan saja.

Bagi segelintir orang, pengurusan memori amat dititikberatkan supaya dia menjadi seorang yang bijaksana. Untuk itu, dia mesti menjadi seorang yang sangat berdisiplin. Dia perlu membiasakan priority atau keutamaan didahulukan. Dia juga mesti melakukan perkara-perkara penting saja dan meninggalkan perkara-perkara yang remeh-temeh. Bagi orang seperti ini, apa yang diperkatakan dan ditulis sangat bernas dan lancar. Dia menyingkap memorinya dengan mudah. Semua memorinya tidak berselerak dan kelam-kabut. Semuanya tersusun kemas dan rapi.

Namun, bagi kebanyakan orang, pengurusan memori tidaklah penting. Oleh itu, mendapatkan kembali memori yang dikehendaki sangat payah. Memori dalam fikiran kita berserabut. Jika memori tersebut dalam bentuk fakta, kita seperti telah kehilangan fakta. Jika memori tersebut dalam bentuk imej, kita seperti telah kehilangan imej. Padahal, fakta dan imej tersebut masih di situ, dalam fikiran kita.



No comments:

Post a Comment