Saturday, February 13, 2010

MEMORI - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Apabila kita sudah dewasa, lebih-lebih lagi kalau sudah tua, maka, banyak memori dalam fikiran kita. Memori ini berlapis-lapis dan bertindih-tindih mengikut peredaran masa. Misalnya, memori tahun ini mula menindih memori tahun lepas. Memori tahun lepas telah menindih memori-memori tahun sebelumnya. Memori-memori lampau berada di lapisan-lapisan bawah dalam fikiran kita. Untuk mendapat kembali memori-memori silam, kenalah kita menyelak lapisan-lapisan memori kita. Kadang-kadang kita bernasib baik kerana berjumpa juga dengan memori yang kita cari. Namun tidak kurang yang menghampakan kerana kita gagal mencari memori yang kita hajati. Ini bukan bermakna memori tersebut telah tiada. Ia tetap ada di dalam fikiran kita tetapi kita gagal menemuinya saja. Ini kerana memori kita tidak diuruskan dengan baik dan bersistem. Pengurusan memori boleh berlaku secara terurus dan juga tidak terurus. Penyimpanan memori tetap berlaku sama ada kita menguruskan atau membiarkan saja.

Bagi segelintir orang, pengurusan memori amat dititikberatkan supaya dia menjadi seorang yang bijaksana. Untuk itu, dia mesti menjadi seorang yang sangat berdisiplin. Dia perlu membiasakan priority atau keutamaan didahulukan. Dia juga mesti melakukan perkara-perkara penting saja dan meninggalkan perkara-perkara yang remeh-temeh. Bagi orang seperti ini, apa yang diperkatakan dan ditulis sangat bernas dan lancar. Dia menyingkap memorinya dengan mudah. Semua memorinya tidak berselerak dan kelam-kabut. Semuanya tersusun kemas dan rapi.

Namun, bagi kebanyakan orang, pengurusan memori tidaklah penting. Oleh itu, mendapatkan kembali memori yang dikehendaki sangat payah. Memori dalam fikiran kita berserabut. Jika memori tersebut dalam bentuk fakta, kita seperti telah kehilangan fakta. Jika memori tersebut dalam bentuk imej, kita seperti telah kehilangan imej. Padahal, fakta dan imej tersebut masih di situ, dalam fikiran kita.



Friday, February 12, 2010

GEMBIRA - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.


Sebagai pelukis, saya tidak dapat lari daripada hakikat bahawa saya mesti menggembirakan orang lain. Orang lain ingin gembira dengan pelbagai cara. Selagi gembira dengan cara yang baik, maka tidak ada salahnya untuk merasa gembira. Dan, saya ingin menjadi penyebab kepada salah satu kegembiraan orang.


Apabila saya dapat tahu ada orang gembira kerana sedikit usaha yang Allah izinkan kepada saya, saya tumpang gembira. Semakin ramai orang gembira, semakin gembiralah saya. Pada saya, kegembiraan adalah salah satu keperluan rohani atau keperluan hati. Hati perlu kepada gembira selain daripada hati perlukan iman dan taqwa.


Di sini saya selalu berfikir, dengan jalan apakah saya mampu menggembirakan orang? Adakah apa-apa jalan yang saya boleh lakukan? Waktu itu saya terfikirkan bakat dan kemahiran saya dalam melukis potret. Bolehkah dengan melukis potret menggembirakan orang?

Tuesday, February 9, 2010

MELATIH PELAJAR - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Mencari pelajar untuk belajar melukis potret agak sukar kerana tidak ramai yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini. Nisbahnya ialah 1:300 dan ini sudah dikira sangat baik. Walau bagaimanapun, menghasilkan seseorang pelajar yang berkualiti adalah lebih sukar lagi. Maka, inilah cabaran yang akan dihadapi apabila seseorang pelukis ingin mencari pelapis atau penyambung bakat dan kemahiran yang ada pada dirinya.

Oleh itu, setiap pelajar yang mempelajari lukisan potret perlulah dilatih dengan betul. Saya memilih beberapa prinsip umum dalam pengajaran saya iaitu di antaranya, bermula dengan latihan yang mudah kepada yang susah. Pendekatan yang saya pilih ialah pendekatan informal dan individual.

Prinsip mudah ke susah membolehkan pelajar tidak takut dengan kemampuan dirinya. Mereka tidak akan terasa kepayahan menghasilkan lukisan potret yang memberansangkan kerana mereka akan melalui langkah demi langkah yang tersusun.

Pendekatan informal atau tidak formal lebih bersifat mesra pelajar. Apabila pelajar rasa dikenali oleh pembimbingnya, timbul rasa seronok ketika belajar. Keseronokan ini akan menghilangkan rasa segan, malu, tidak yakin pada diri sendiri, dan sebagainya. Pelajar tidak rasa rendah diri apabila melakukan kesilapan dalam assignment yang diberi.

Pendekatan individu perlu kerana aras minat dan kemampuan seseorang pelajar tidak sama di antara satu sama lain. Jika ada 10 seorang pelajar, maka saya ada 10 individu yang berbeza. Melayani 10 individu secara berbeza adalah lebih baik walaupun sedikit leceh daripada pukul rata sahaja.

Sunday, February 7, 2010

MENCARI PELAJAR - Jumpa Cikgu Mas Potret di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Sudah semestinya kita tidak boleh lokek dengan apa yang kita ada termasuklah ilmu dan kemahiran yang Allah berikan kepada kita, melainkan ilmu yang salah dan kemahiran yang membinasakan. Selagi ilmu dan kemahiran kita bersifat murni, sebarkanlah kepada orang lain. Mudah-mudahan ilmu dan kemahiran itu bertambah-tambah murni di tangan orang lain.

Kebiasaannya, akan ada orang yang lebih kreatif daripada kita dan memurnikan lagi ilmu dan kemahiran kita dengan daya kreativitinya. Misalnya, saya tahu 3 teknik mendapatkan lukisan potret yang baik. Namun, di tangan pelajar-pelajar saya, mereka dapat menemui 4 lagi teknik baru menjadikan 7 teknik kesemuanya.

Dalam apa bidang dan lapangan sekalipun, seperti memasak, menjahit, berniaga, berceramah, dan sebagainya, ilmu dan kemahiran itu hendaklah diajar kepada orang lain. Barulah ia akan berkembang dan bercambah. Barulah ada kemajuan. Tidak ada ruginya mencari pelajar yang berminat dengan ilmu dan kemahiran yang kita ada. Sebab itu, ketika belajar, belajarlah dengan serius. Dan bila sudah menguasai, jangan pula kita lokek.

PEWARIS - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.


Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan seorang isteri yang mempunyai minat yang sama dengan saya iaitu seni lukis. Sungguhpun begitu, isteri saya lebih cenderung kepada lukisan corak, still life dan nature. Beliau tidak begitu minat dengan potret sepertimana saya.


Saya mempunyai seorang anak perempuan yang kini berusia 20 tahun. Setakat ini, dia tidak menunjukkan sebarang minat terhadap bidang seni lukis sebagaimana ayah dan ibunya. Saya cuba mengajarnya melukis dan melukis di depannya sejak dia di bangku sekolah lagi tetapi minatnya tidak ke arah itu. Boleh jadi minat dan bakat seni lukisnya akan timbul kemudian nanti.


Sebagai seorang pelukis tentulah saya inginkan anak saya mewarisi kemahiran seni yang saya miliki sepertimana saya mewarisi daripada ibu dan nenek saya.

Friday, February 5, 2010

GURU MUZIK - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Ketika ini saya lebih dikenali sebagai guru muzik lebih daripada guru lukisan atau guru seni visual. Ini kerana selepas 18 tahun mengajar Pendidikan Seni Visual, saya tidak lagi diamanahkan mengajar mata pelajaran tersebut. Sebaliknya, saya dipertanggungjawabkan mengajar Pendidikan Muzik.

Pada tahun pertama mengajar Pendidikan Muzik saya telah diberikan 12 kelas. Beratnya tanggungjawab ini Tuhan saja yang tahu. Ini kerana saya tidak tahu apa pun darihal teori muzik, lebih-lebih lagi memainkan apa-apa alat muzik. Namun kerana saya anggap ianya satu cabaran, maka saya mendaftarkan diri di kelas piano dengan perbelanjaan sendiri.

Selepas 2 bulan belajar piano serta teori muzik, saya telah dapat menguasai perkara-perkara asas yang diperlukan sebagai seorang guru muzik. Dengan perbelanjaan sendiri, saya telah membeli sebuah keyboard YAMAHA untuk berlatih di rumah. Dengan itu dapatlah saya memahirkan diri saya dengan pelbagai lagu dan rentak.

Apabila keyakinan diri saya meningkat, saya memberanikan diri menubuhkan beberapa kumpulan persembahan seperti nasyid, koir, kompang, percussion, boria dan dikir barat. Saya menerima sambutan serta kerjasama yang amat menggalakkan daripada murid-murid saya. Setiap kali ada majlis di sekolah seperti Maulidirrasul, Hari Guru, Mesyuarat Agung PIBG, Hari Kecemerlangan Akademik, dan sebagainya, saya dan kumpulan murid-murid berkenaan akan terlibat dengan bahagian persembahan.

Kumpulan koir sekolah saya telah dua kali mendapat tempat Naib Johan Pertandingan Koir peringkat daerah di Karnival Kesenian dan Kebudayaan. Tahun ini saya bercadang untuk membawa kumpulan nasyid sekolah saya ke Pertandingan Nasyid Daerah pula.

Wednesday, February 3, 2010

DATE LINE - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.


Melukis sesebuah potret untuk tempahan seseorang perlu ada date line. Misalnya, 3 hari atau 7 hari selepas mula kerja bergantung kepada saiz dan jenis potret yang diminta. Potret saiz besar sememangnya memerlukan masa yang lebih. Begitu juga potret berwarna.


Meletakkan satu date line membantu kita fokus dalam menyiapkan sesuatu kerja tanpa berlengah-lengah dan tidak pula tergopoh-gapah. Namun ada juga permintaan untuk mendapatkan potret dengan segera, misalnya satu hari, maka, bayaran lebih diperlukan. Ini kerana pelukis terpaksa melakukan kerjanya dalam tekanan.


Apapun date line biasanya ditetapkan oleh pelukis sendiri. Ini membantu pelukis fokus dan menepati masa. Menepati masa juga penting kerana pelanggan akan lebih yakin kepada pelukis yang on time. Reputasi pelukis akan jatuh pada pandangan pelanggan jika dia gagal menyiapkan kerjanya pada masa yang dipersetujui.


Oleh itu, selain fokus, date line perlulah realistik : tidak terlalu sekejap dan tidak terlalu lama. Jika terlalu sekejap, dibimbangi pelukis tidak dapat menghasilkan kerja yang baik dan berkualiti. Jika terlalu lama pula, pelanggan akan merasa bosan dan rasa tidak berbaloi dengan perbelanjaan yang telah dikeluarkan.

Monday, February 1, 2010

MENGAJAR LUKISAN - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Sebagai seorang guru lukisan ( istilah lama bagi Pendidikan Seni Visual ), sudah tentu kerja utama saya ialah mengajar lukisan. Selepas tiga tahun berkursus di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak dalam bidang Pendidikan Seni, saya telah dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya.

Namun, ia tidaklah semantap mana. Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni adalah di tahap asas sahaja. Apabila saya mula mengajar di sekolah pertama saya, saya mula mengutip pengalaman. Pengalaman demi pengalaman saya kutip sehinggalah 18 tahun saya mengajar. Apa yang menjadi kepuasan ialah dapat melihat pelajar-pelajar mampu menghasilkan kerja-kerja melakar, melukis, mewarna, mencorak dan sebagainya dengan perasaan ceria dan gembira.

Dari situ saya dapat faham bahawa mata pelajaran Pendidikan Seni Visual adalah suatu yang bersifat menghiburkan. Sesekali saya selitkan teknik melukis kartun dan karikatur walaupun ianya tiada dalam sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual. Saya sengaja menyelitkannya kerana saya suka melihat pelajar-pelajar ceria dan gembira semasa pengajaran saya.

Entah mengapa saya suka melihat orang ceria dan gembira. Dan saya ingin menceriakan dan menggembirakan orang dengan pengetahuan dan kemahiran yang saya ada. Saya sentiasa mencari peluang untuk mengajar lukisan kepada sesiapa sahaja yang sudi mempelajarinya.

FOKUS - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com


Assalamulaikum wm. wt.

Saya agak sibuk sejak kebelakangan ini kerana tempahan-tempahan potret yang perlu disiapkan. Untuk menyiapkan sesebuah potret saya semestinya tumpukan sepenuh perhatian kepada kerja saya itu. Dengan lain perkataan, saya mesti fokus 100%. Ini bertujuan untuk menjaga kualiti kerja saya agar saya terus mendapat kepercayaan pelanggan serta para peminat lukisan potret saya.

Jika saya dapat menjaga tahap penumpuan saya maka saya dapat meminimakan kesilapan hatta kesilapan kecil sekalipun. Ini menjurus kepada perfection, suatu yang biasa berlaku kepada mana-mana pelukis yang serius dengan kerjanya.

Serius bukan bermakna tidak mesra tetapi lebih kepada bersungguh-sungguh memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa. Ertinya, tiada kompromi dalam melakukan kesilapan. Maka, untuk itu, fokus sangat-sangat diperlukan.