Tuesday, February 9, 2010

MELATIH PELAJAR - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Mencari pelajar untuk belajar melukis potret agak sukar kerana tidak ramai yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini. Nisbahnya ialah 1:300 dan ini sudah dikira sangat baik. Walau bagaimanapun, menghasilkan seseorang pelajar yang berkualiti adalah lebih sukar lagi. Maka, inilah cabaran yang akan dihadapi apabila seseorang pelukis ingin mencari pelapis atau penyambung bakat dan kemahiran yang ada pada dirinya.

Oleh itu, setiap pelajar yang mempelajari lukisan potret perlulah dilatih dengan betul. Saya memilih beberapa prinsip umum dalam pengajaran saya iaitu di antaranya, bermula dengan latihan yang mudah kepada yang susah. Pendekatan yang saya pilih ialah pendekatan informal dan individual.

Prinsip mudah ke susah membolehkan pelajar tidak takut dengan kemampuan dirinya. Mereka tidak akan terasa kepayahan menghasilkan lukisan potret yang memberansangkan kerana mereka akan melalui langkah demi langkah yang tersusun.

Pendekatan informal atau tidak formal lebih bersifat mesra pelajar. Apabila pelajar rasa dikenali oleh pembimbingnya, timbul rasa seronok ketika belajar. Keseronokan ini akan menghilangkan rasa segan, malu, tidak yakin pada diri sendiri, dan sebagainya. Pelajar tidak rasa rendah diri apabila melakukan kesilapan dalam assignment yang diberi.

Pendekatan individu perlu kerana aras minat dan kemampuan seseorang pelajar tidak sama di antara satu sama lain. Jika ada 10 seorang pelajar, maka saya ada 10 individu yang berbeza. Melayani 10 individu secara berbeza adalah lebih baik walaupun sedikit leceh daripada pukul rata sahaja.

No comments:

Post a Comment