Thursday, January 21, 2010

SABAR - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Dalam menghasilkan sesebuah lukisan potret, ada sifat-sifat yang diperlukan supaya ia memuaskan hati sendiri, peminat-peminat dan juga para pelanggan. Sifat-sifat tersebut tidak semestinya sudah sedia ada pada diri kita. Sebaliknya, banyak yang perlu diusahakan supaya ianya ada pada diri kita.

Di antara sifat yang perlu ada untuk menghasilkan sesebuah lukisan potret yang baik ialah sifat sabar. Sabar sangat penting kerana melukis potret memerlukan perhatian yang halus dan teliti serta mengambil masa yang agak lama. Jika kita tidak sabar, kita akan berhenti sekerat jalan sahaja. Maka, lukisan kita tidak akan menjadi.

Ini tidak bermakna saya mengatakan diri saya seorang yang penyabar. Tidak! Setakat yang saya kenal diri saya, saya bukanlah penyabar orangnya. Namun, seperti yang saya nyatakan tadi, sifat tadi perlu diusahakan supaya lukisan menjadi lebih baik, maka saya usahakan sifat sabar itu agar ada pada diri saya. Ini bukan satu usaha mudah. Lainlah kalau saudara-saudari sudah sememangnya seorang yang penyabar.

Saya cuma berharap agar suatu hari nanti, melalui kerja-kerja melukis potret ini saya akan menjadi seorang yang betul-betul sabar dalam kehidupan seharian saya. Inilah di antara sebab saya memilih lukisan potret kerana natijah atau hasilnya nanti ialah sabar yang sebati dalam diri. Inilah kejayaan besar yang saya inginkan. Wang ringgit bukanlah keutamaan saya.

Mungkin saudara-saudari bersetuju dengan pandangan saya : sabar lebih utama daripada wang ringgit.

Tuesday, January 19, 2010

PEMINAT LUKISAN POTRET - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com


Assalamualaikum wm. wt.

Bila menyentuh darihal lukisan potret, tidak ramai yang berminat melukis. Biasanya, yang ramai ialah peminat lukisan potret. Jarang-jarang pula didengari orang yang tidak berminat atau membenci lukisan potret.

Dari kalangan peminat lukisan potret, ada yang terlalu minat sehingga mereka sanggup membeli berbillion-billion ringgit lukisan potret Mona Lisa hasil tangan Leonardo da Vinci yang terkenal itu. Namun, oleh kerana lukisan tersebut adalah aset dan maruah negara, maka ia tidak dijual kepada sesiapa walaupun dengan harga yang sangat tinggi - ia priceless . Sesiapa yang melancong ke Paris pasti tidak akan melepaskan peluang menatap potret Mona Lisa di Salle de Etats, Louvre. Tahukah saudara-saudari makna Mona Lisa itu ialah Puan Lisa?

Selain daripada membeli, peminat-peminat akan menempah lukisan potret wajah mereka sendiri atau wajah-wajah orang kesayangan mereka. Ini mendatangkan kepuasan kepada mereka. Sekalipun mereka tidak mampu menghasilkan lukisan seumpama itu tetapi mereka menghargainya. Mungkin mereka ada menyimpan impian menjadi pelukis potret suatu masa dulu tetapi tiada pendedahan dan bimbingan sesiapa yang membolehkan mereka mencapai impian mereka itu.

Jika seseorang itu mempunyai minat dan mendapat pendedahan serta bimbingan orang yang mahir darihal lukisan potret, maka dia akan beransur-ansur menjadi seorang pelukis potret. Sekadar untuk menjadi seorang pelukis potret yang biasa-biasa seperti saya, minat, pendedahan dan bimbingan sudah memadai. Tetapi untuk menjadi pelukis potret handalan, ada bahan dan ramuan lain yang diperlukan dalam resipi kejayaan mereka.

Bagi peminat lukisan potret, resipi mudah ialah minat. Dan minat itu bukan sesuatu yang dipaksa-paksa. Ia tidak perlu diusahakan. Bila ada minat, dapat kepuasan, itu sudah memadai bagi peminat lukisan potret.

MEMILIH LUKISAN POTRET - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com


Assalamualaikum wm. wt.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Semenjak di bangku sekolah rendah saya sudah berjinak-jinak dengan lukisan potret sehinggalah saya menginjakkan kaki ke sekolah menengah. Apabila naik ke Tingkatan Empat, saya dimasukkan ke aliran Sains. Dalam aliran Sains tidak ada mata pelajaran Seni Lukis ( istilah pada masa itu ). Seni Lukis hanya diajar di kelas-kelas aliran Sastera. Ini sedikit mengecewakan saya sementelahan usaha saya dan beberapa orang rakan sekelas untuk bertukar aliran tidak mendapat layanan yang diharapkan.

Semasa berada di Tingkatan Lima, saya mula tidak mampu untuk meneruskan mata pelajaran Additional Mathematics. Adalah tidak mungkin saya mendapat gred yang baik untuk mata pelajaran tersebut dalam MCE saya. Lalu, saya dan beberapa orang rakan yang mengalami keadaan yang sama telah mengambil keputusan untuk 'drop' Add Maths dan mengambil kertas Seni Lukis.

Mulai hari itu, kami mengikuti kelas Seni Lukis di bawah bimbingan Mr Yong bersama rakan-rakan aliran Sastera. Di situ baru saya dapat lihat rakan-rakan dari aliran Sastera seperti Kamarul Baharin misalnya yang telah jauh maju ke hadapan dalam teknik lukisannya. Apa pun, saya berpuas hati dengan Kepujian 3 untuk Seni Lukis dalam SPM saya.

Apabila dipilih ke Tingkatan Enam, saya sekali lagi ditempatkan dalam aliran Sains. Kali ini saya tidak cuba untuk menukar aliran tetapi memilih untuk meneruskan sahaja sekalipun matapelajaran Matematik Tingkatan Enam amat memeningkan kepala saya. Pada masa-masa terluang saya meneruskan aktiviti melukis potret untuk meredakan kepeningan saya.

Saya cenderung melukis potret kerana saya berpendapat melukis subjek lukisan yang hampir dengan diri kita adalah lebih mudah daripada melukis subjek lukisan yang jauh dengan diri kita. Kita sentiasa bertemu dengan manusia dan sentiasa dapat melihat wajah mereka. Paling tidak pun, kita boleh melihat wajah kita sendiri pada cermin. Maka, melukis potret menjadi lebih mudah berbanding dengan melukis pemandangan di tepi laut, misalnya. Pastinya, melukis wajah hantu lebih sukar sebab kebanyakan daripada kita tidak pernah melihat wajah hantu yang sebenar. Tetapi, jika diberi peluang, kita akan memilih untuk melukis gambar hantu yang bertaring, bermata merah, rambut yang panjang mengerbang, dan sebagainya.

Mengapa memilih lukisan gambar hantu daripada lukisan potret manusia biasa? Yang manakah biasa kita lihat setiap hari, hantu atau manusia? Jawapannya ada pada saudara-saudari. Dan, jawapan ini telah lama ada pada saya. Dengan sebab itu, melukis potret wajah orang adalah pilihan saya sejak dari dulu lagi.

BERSYUKUR - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com


Assalamualaikum wm. wt.

Saya ingin menyambung bahagian pengenalan saya dengan menegaskan yang kita mesti bersyukur kepada Allah atas segala nikmat kurniaanNya kepada kita. Bukan saya mengatakan saudara-saudari orang yang tidak bersyukur nikmat Tuhan. Tidak! Saya sekadar ingin berpesan-pesan seperti mana maksud Surah Al Asr : Berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Saya bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang ada darah seni. Tapi cuma di sebelah ibu. Di sebelah ayah tidak diketahui oleh saya akan penglibatan mereka di bidang seni. Ibu saya sewaktu mudanya sentiasa menganyam tikar mengkuang. Selain tikar, ibu saya juga membuat tudung saji, menekat benang emas untuk perhiasan pengantin orang dulu-dulu seperti kipas pengantin, kepala bantal peluk, dan sebagainya.

Ibu saya mewarisi kemahiran seni kraftangan ini daripada ibunya yakni nenek saya dan ibu-ibu saudaranya yakni nenek-nenek saudara saya. Semasa saya kecil saya sering melihat mereka dengan aktiviti seni mereka. Tetapi darah seni saya tidak terarah kepada seni kraftangan sebaliknya lukisan potret.

Sejak di sekolah rendah saya sudah mula meminati bidang pemerhatian wajah orang. Buku-buku latihan tahun lepasnya yang masih kosong akan saya gunakan untuk melukis gambar orang. Semasa di sekolah menengah rendah, saya kerap ke perpustakaan melihat teknik-teknik melukis potret melalui buku-buku yang terdapat di sana. Selalunya saya akan praktikkan apa yang saya dapat dan memperbaikinya sedikit demi sedikit.

Sikap saya ni berterusan hinggalah kini. Saya tidak pernah berasa jemu memperbaiki teknik lukisan saya. Selalunya, saya akan duduk berjam-jam lamanya di studio di rumah saya. Namun, setiap sejam saya akan bangun selama 15 minit untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain seperti solat, minum air, baca suratkhabar, tengok arnab, dan sebagainya. Ini untuk mengelakkan 'stress'.

Semua ini saya lakukan kerana saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang lukisan potret ini. Kalau saudara-saudari mempunyai minat yang serupa, saya tidak keberatan untuk berkongsi ilmu yang saya ada. Kalau belajar secara tidak formal, saya tidak akan mengenakan apa-apa bayaran. Saya akan memberikan tip-tip percuma kepada saudara-saudari. Tetapi, kalau belajar secara formal melalui kursuspotret.com.my, saya memang mengenakan sedikit bayaran.

Berkongsi ilmu adalah salah satu cara saya menzahirkan kesyukuran saya kepada Tuhan. Saya tidak boleh bakhil dengan apa yang Tuhan berikan kepada saya.

Monday, January 18, 2010

PENGENALAN - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian. Selamat berkunjung ke laman blog saya. Di sini saya ingin berkongsi dengan saudara-saudari darihal lukisan potret di samping menyelitkan hal-hal yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Lukisan potret bukanlah satu perkara baru di dunia ini. Ramai yang telah menceburkan diri dalam bidang ini kerana minat yang terlalu mendalam. Minat bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa atau dibuat-buat. Ia muncul sendiri dalam diri seseorang atas kehendak Allah SWT.

Cuma minat ini mestilah ditangani dengan sebaik-baiknya agar ia tidak disalahgunakan. Sesiapa yang minat melukis potret dan dapat mengembangkan minat tersebut hendaklah bersyukur kepada Allah sebanyak-banyaknya. Allah sememangnya menyuruh kita hambaNya banyakkan bersyukur dengan apa sahaja kurniaan daripadaNya. Dan, barangsiapa yang bersyukur Allah berjanji untuk menambah lagi nikmat kurniaanNya pada masa akan datang, dalam bentuk yang tidak kita sangka-sangkakan.

Jadi, sebagai pengenalan, memadailah saya simpulkan bahawa bersyukur kepada Tuhan sangat penting. Kitakan hamba Tuhan. Kitakan ciptaan Tuhan.