Friday, February 5, 2010

GURU MUZIK - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Ketika ini saya lebih dikenali sebagai guru muzik lebih daripada guru lukisan atau guru seni visual. Ini kerana selepas 18 tahun mengajar Pendidikan Seni Visual, saya tidak lagi diamanahkan mengajar mata pelajaran tersebut. Sebaliknya, saya dipertanggungjawabkan mengajar Pendidikan Muzik.

Pada tahun pertama mengajar Pendidikan Muzik saya telah diberikan 12 kelas. Beratnya tanggungjawab ini Tuhan saja yang tahu. Ini kerana saya tidak tahu apa pun darihal teori muzik, lebih-lebih lagi memainkan apa-apa alat muzik. Namun kerana saya anggap ianya satu cabaran, maka saya mendaftarkan diri di kelas piano dengan perbelanjaan sendiri.

Selepas 2 bulan belajar piano serta teori muzik, saya telah dapat menguasai perkara-perkara asas yang diperlukan sebagai seorang guru muzik. Dengan perbelanjaan sendiri, saya telah membeli sebuah keyboard YAMAHA untuk berlatih di rumah. Dengan itu dapatlah saya memahirkan diri saya dengan pelbagai lagu dan rentak.

Apabila keyakinan diri saya meningkat, saya memberanikan diri menubuhkan beberapa kumpulan persembahan seperti nasyid, koir, kompang, percussion, boria dan dikir barat. Saya menerima sambutan serta kerjasama yang amat menggalakkan daripada murid-murid saya. Setiap kali ada majlis di sekolah seperti Maulidirrasul, Hari Guru, Mesyuarat Agung PIBG, Hari Kecemerlangan Akademik, dan sebagainya, saya dan kumpulan murid-murid berkenaan akan terlibat dengan bahagian persembahan.

Kumpulan koir sekolah saya telah dua kali mendapat tempat Naib Johan Pertandingan Koir peringkat daerah di Karnival Kesenian dan Kebudayaan. Tahun ini saya bercadang untuk membawa kumpulan nasyid sekolah saya ke Pertandingan Nasyid Daerah pula.

No comments:

Post a Comment