Monday, February 1, 2010

MENGAJAR LUKISAN - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com



Assalamualaikum wm. wt.

Sebagai seorang guru lukisan ( istilah lama bagi Pendidikan Seni Visual ), sudah tentu kerja utama saya ialah mengajar lukisan. Selepas tiga tahun berkursus di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak dalam bidang Pendidikan Seni, saya telah dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya.

Namun, ia tidaklah semantap mana. Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni adalah di tahap asas sahaja. Apabila saya mula mengajar di sekolah pertama saya, saya mula mengutip pengalaman. Pengalaman demi pengalaman saya kutip sehinggalah 18 tahun saya mengajar. Apa yang menjadi kepuasan ialah dapat melihat pelajar-pelajar mampu menghasilkan kerja-kerja melakar, melukis, mewarna, mencorak dan sebagainya dengan perasaan ceria dan gembira.

Dari situ saya dapat faham bahawa mata pelajaran Pendidikan Seni Visual adalah suatu yang bersifat menghiburkan. Sesekali saya selitkan teknik melukis kartun dan karikatur walaupun ianya tiada dalam sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual. Saya sengaja menyelitkannya kerana saya suka melihat pelajar-pelajar ceria dan gembira semasa pengajaran saya.

Entah mengapa saya suka melihat orang ceria dan gembira. Dan saya ingin menceriakan dan menggembirakan orang dengan pengetahuan dan kemahiran yang saya ada. Saya sentiasa mencari peluang untuk mengajar lukisan kepada sesiapa sahaja yang sudi mempelajarinya.

No comments:

Post a Comment