Saturday, March 27, 2010

KISAH SEORANG PELUKIS - Jumpa Cikgu Mas di Facebook.com


Assalamualaikum wm. wt.

Semasa saya berada di bangku sekolah dulu, saya pernah terbaca satu kisah seorang pelukis tetapi saya sudah tidak begitu ingat lagi secara terperinci akan kisah itu. Namun, saya masih ingat lagi intipatinya. Saya ingin menceritakan kembali kisah tersebut tetapi dengan versi saya. Jika ada di antara para pembaca yang masih ingat kisah tersebut dan mendapati ianya amat berlainan dengan cerita saya ini, harap maafkan saya.

Kisah ini berlaku di sebuah kolej pengajian seni halus. Salah sebuah kelas yang terdiri daripada 25 orang penuntut dikehendaki masing-masing menyiapkan sebuah lukisan terbaru dan unik serta dipamerkan di galeri yang disediakan. Semua penuntut begitu serius menyediakan lukisan yang diminta melainkan Khairul. Khairul tidak mengendahkan sangat darihal pameran itu.

Namun pada malam sebelum pameran, penuntut-penuntut terlibat diberitahu bahawa mereka yang tidak mempamerkan lukisan akan dipanggil mengadap pengetua kolej. Berderau darah Khairul mendengar berita tersebut kerana setelah dibuat tinjauan, hanya dia seorang yang belum meletakkan lukisannya di galeri. Pada malam itu Khairul seorang sahaja yang berada di studio seni dalam keadaan mengelabah sedangkan rakan-rakannya yang lain berada di galeri untuk membuat persiapan terakhir.

Keesokan paginya, selepas membuat ucapan, pengetua dengan diiringi oleh beberapa orang pensyarah melawat ke galeri-galeri yang ada termasuk galeri kelas Khairul. Setibanya di sana, setiap penuntut yang seramai 25 orang itu telah berdiri di sebelah lukisan masing-masing dan bersedia untuk memberi penerangan jika diminta. Dan masing-masing berasa bangga apabila pengetua berhenti melihat lukisan mereka namun pengetua tidak bertanya apa-apa. Pengetua melihat lukisan-lukisan tersebut memang cantik namun semuanya tidak menarik dan tidak mencuit hatinya.

Setibanya di hadapan lukisan Khairul, pengetua berhenti dan merenung lama lukisan tersebut. Ke atas ke bawah ke kiri ke kanan diperhatikannya. Pengetua mencari sesuatu pada lukisan Khairul namun tidak berjumpa dengan apa yang dicarinya. Para pensyarah yang mengiringi juga turut tercari-cari. Hal ini menyebabkan penuntut-penuntut lain kehairanan dan datang menghampiri. Setelah beberapa ketika, pengetua bersuara memecah kesunyian.

Pengetua : Lukisan ini menarik perhatian saya.
Khairul : Terima kasih tuan ( Khairul tersipu-sipu ).
Pengetua : Saya mencari-cari tajuk lukisan awak tapi tak ada. Apa tajuk lukisan kamu?
Khairul : Err ... err ... Lembu Makan Rumput tuan.
Pengetua : Lembu Makan Rumput? Mana rumputnya?
Khairul : Rumput dah habis dimakan lembu.
Pengetua : Mana lembunya?
Khairul : Lembu dah kenyang tuan, jadi dah pergi dari sini.
Pengetua : Tak apa. Saya tak berminat dengan lembu itu, jadi biar ia pergi. Tapi awak tuan lembu itu ikut saya ke pejabat.
Khairul : Aduh. Tak menjadi taktik aku ( kata Khairul perlahan sambil berjalan di belakang pengetua ).

1 comment:

  1. Sy baru terjumpa gbr kawan saya (Yusfa n Rohana Mat Yusop) dlm FB yg En. lukis....saaangat cantekkk okey ???... Bercadang nak minta lukiskan potret anak2 saya..nanti sy cari gambar2 sesuai dulu...TQ!

    ReplyDelete